`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 

10 APRIL 2024

Saturday, July 13, 2013

Ayat perintah: Puasa dan Qisas

Sudah tentu keyakinan kita terhadap hukum qisas itu sama pentingnya dengan keyakinan kita terhadap ibadat puasa.
Dua ayat dalam surah yang sama menjadi tajuk perbualan kali ini. Kedua-dua ayat tersebut, ayat 178 dan 183 merupakan ayat perintah daripada Allah SWT iaitu merupakan seruan kepada orang-orang yang beriman untuk melaksanakannya.
Dalam ayat 183 Surah Al-Baqarah, Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.”
Dalam ayat 178 Surah Al Baqarah juga bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan kamu menjalankan hukuman ‘Qisas’ (balasan yang seimbang) dalam perkara orang-orang yang mati dibunuh iaitu: orang merdeka dengan orang merdeka, dan hamba dengan hamba dan perempuan dengan perempuan.”
“Maka sesiapa (pembunuh) yang dapat sebahagian keampunan dari saudaranya (pihak yang terbunuh) maka hendaklah (orang yang mengampunkan itu) mengikut cara yang baik (dalam menuntut ganti rugi) dan (si pembunuh pula) hendaklah menunaikan (bayaran ganti nyawa itu) dengan sebaik-baiknya.
“Yang demikian itu adalah suatu keringanan dari Tuhan kamu serta suatu rahmat kemudahan. Sesudah itu sesiapa yang melampaui batas (untuk membalas dendam pula) maka baginya azab seksa yang terperi sakitnya.”
Kedua-dua ayat perintah ini merupakan perkara wajib yang harus ditunaikan oleh umat Islam. Dalam erti kata lain, oleh mereka yang mengaku beriman. Satu ayat Allah SWT memerintahkan kita berpuasa (puasa wajib adalah dalam bulan Ramadan) manakala satu lagi ayat, Allah memerintahkan kita supaya melaksanakan hukum ‘Qisas”, yang juga wajib dilaksanakan.
Puasa wajib adalah pada bulan Ramadan manakala puasa sunat boleh dilakukan sepanjang tahun.  Puasa sunat digalakkan pada hari-hari tertentu dalam kalendar Islam seperti puasa hari Isnin dan Khamis.  Pusat sunat juga digalakkan pada 1 Rejab, 1 Syaaban dan 15 Syaaban sebagai contoh.
Qisas pula bermaksud balasan yang seimbang atau setimpal, umpamanya hukum membunuh dengan bunuh. Ayat 178 juga menjelaskan bagaimana hukum Qisas boleh dilaksanakan. Jika tidak dilaksanakan hukum bunuh kerana mendapat keampunan dari saudara yang terbunuh maka boleh dibuat dengan membayar sejumlah wang sebagai ganti rugi.
Pohon segala ibadat
Cuba buka kitab Hadiyatul Saalikin yang dikarang oleh Sheikh Abdul Samad Palembang. Beliau memetik Imam Ghazali sebagai berkata bahawa puasa itu adalah pohon segala ibadat dan anak kunci yang membuka segala taat.
Ibadat dan taat kepada Allah SWT bertitik tolak dari amalan kita mengerjakan puasa.  Dalam erti kata lain, kesungguhan kita menjalani ibadat puasa akan meningkat dan menambah keimanan serta membawa kita kepada ketaatan yang bersifat total.
Kalau kita boleh menerima puasa sebagai satu cabang ibadat, kenapa kita tidak boleh menerima hukum ‘Qisas’ sebagai salah satu cabang dari ibadat dan sebahagian dari perundangan Islam seperti hukum hudud dan takzir.
Pada hal kedua-dua ayat tersebut bersifat perintah daripada Allah SWT dan kita tidak boleh mengingkarinya sama sekali apatah lagi untuk mempersenda atau menentangnya.
Ibadat puasa boleh dikuatkuasakan ke atas setiap umat Islam yang akil baligh di negara ini. Jika ada orang Islam yang tidak berpuasa dalam bulan Ramadan, pihak majlis agama negeri-negeri akan mengambil tindakan sepertimana yang berlaku kepada seorang artis yang tidak berpuasa pada hari pertama Ramadan.
Tetapi persepsi dan pendirian kita terus berubah apabila disebut ‘Qisas’ sebagai satu hukum atau sebahagian dari syariat Islam yang mesti kita perjuangkan dan laksanakan. Kenapa mesti ada yang mengingkari ayat ‘Qisas’ ini?
Allah secara jelas sangat murka kepada hamba-hamba-Nya yang mengikut perangai Yahudi yang beriman dengan sebahagian dari isi kitab mereka dan menolak sebahagian dari isi kitab yang lain.
Jadi puasa yang diterima Allah ialah bukan sahaja menahan diri dari lapar dan dahaga tetapi juga membuang segala sifat yang keji (mazmumah) termasuk menerima Islam sebagai ad-din, yang mengatur segala aspek kehidupan kita sehari-hari.
Makanya kesempurnaan menjalani ibadat puasa itu sendiri bergantung kepada keikhlasan hati kita yang akan diberi ganjaran yang berlipat kali ganda berbanding dengan pahala dalam bulan-bulan yang lain.
Sudah tentu keyakinan kita terhadap perundangan Islam seperti hukum qisas itu sama pentingnya dengan keyakinan kita terhadap kewajipan menjalani ibadat puasa itu sendiri. Kalau tidak, aqidah kita boleh dipersoalkan.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.