`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Thursday, July 25, 2013

Jual beli diesel subsidi semakin berleluasa

Kegiatan aktiviti jual beli di antara diesel subsidi kepada pembeli industri oleh pihak yang tidak bertanggungjawab hendaklah dibasmi
Oleh Marvin Augustine
KOTA KINABALU: Kekurangan bekalan minyak diesel telah melanda di Sabah terutamanya di bandar Kota Kinabalu.
Banyak pengguna terutamanya peniaga kenderaan perniagaan seperti lori dan bas risau akan kejadian ini akan menjejaskan kerja seharian mereka.
Fenomena ini telah juga menyebabkan banyak pemandu di Sabah risau akan kegiatan seharian mereka kerana kebanyakan mereka memandu kereta pacuan empat roda yang menggunakan minyak diesel.
Sabah mempunyai banyak kereta pacuan empat roda berikutan jenis dan keadaan muka bumi Sabah yang berbukit bukau.
Seorang pengusaha stesyen minyak memberitahu FMT kerajaan telah menghad kuota belian diesel pada setiap bulan.
Sekiranya jualan mereka telah mencapai jumlah kuota, maka tiada lagi bekalan diesel dihantar kepada mereka sehingga tempoh bulan yang baru.
Had kuota diesel dipercayai dilaksanakan pada tahun 2005 bertujuan untuk mengelakkan aktiviti jual beli diesel subsidi kereta kepada diesel industri yang masing masing berharga RM1.80 dan RM2.65 seliter. Diesel subsidi untuk nelayan pula adalah pada RM1.20 seliter.
Had kuota setiap stesyen adalah berbeza di antara satu stesyen dengan stesyen yang lain dan ditentukan dengan jualan purata bulanan adalah di antara 80 ribu hingga 400 ribu liter sebulan.
Ada di antara stesyen yang diberi kuota sebanyak 600 ribu liter sebulan. Jumlah diesel tersebut kemudian akan dibahagikan dengan jumlah hari dalam sebulan.
Perbezaan sebanyak RM0.80 seliter berbanding pemandu kereta dan RM1.45 berbanding diesel subsidi nelayan ini memberi peluang kepada mereka yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan mengaut keuntungan dengan menjual bekalan diesel mereka kepada pengusaha industri.
Had jualan diesel adalah berbeza dan bergantung kepada jenis kereta. Misalnya kereta biasa seperti pacuan empat roda mempunya kapasiti tong minyak sebanyak 70 liter, maka had jualan adalah kurang daripada jumlah tersebut, manakala untuk bas dan lori, had jualan adalah kurang dari 200 liter.
Namun, permintaan bekalan diesel yang tinggi ketika ini menyebabkan jumlah jualan diesel tersebut menurun kepada 30 liter untuk memberi peluang kepada pengguna lain membeli.
Kejadian jual beli diesel berleluasa ketika kerajaan mengumumkan tidak akan lagi memberi subsidi kepada pengusaha industri.
Wakil Dewan Undangan Negeri Likas Junz Wong dalam kenyataan laman facebook berharap Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) bertindak untuk membasmi kegiatan aktiviti jual beli di antara diesel subsidi kepada pembeli industri oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
Junz menunjukkan gambar di mana nilai jualan diesel lebih daripada RM3000 iaitu kurang dari 2000 liter telah berlaku. Beliau mencadangkan lebih banyak rondaan dan pengawasan dilakukan dan mengenakan tindakan kepada mereka yang melakukan kesalahan ini.
Orang ramai juga boleh membantu dengan mengawasi kegiatan ini dan menghantar bukti dalam bentuk gambar dan video kepada pihak penguasa.
Junz mendakwa oleh kerana tiada pengawasan yang secukupnya, dasar yang dilaksanakan pada tahun 2005 ini telah menyebabkan kegiatan jual beli diesel subsidi semakin berleluasa.
Beliau juga mempersoalkan pemberian subsidi diesel hanya kepada nelayan tetapi bukan kepada sektor lain seperti pertanian.
Namun begitu, adalah sukar di kalangan pengusaha stesyen mengawasi aktiviti ini kerana mereka ini bijak mengelakkan daripada ditemui dengan membeli di stesyen yang berlainan. Ada dikalangan kakitangan stesyen minyak yang diberi suapan untuk menjual melebihi paras yang ditetapkan.
Pengusaha mendakwa tidak dapat mengenakan tindakan ke atas kakitangannya kerana jualan had kereta hanya satu kesalahan yang kecil. Sekiranya tiada aktiviti jual beli, kuota yang diberikan sebenarnya adalah memcukupi dan berlebihan.
Menurut sumber, pihak yang tidak bertanggungjawab ini hanya dikenakan tindakan denda sekiranya tertangkap.
Oleh kerana denda yang dikenakan adalah amat rendah, kebanyakan mereka yang dilepaskan tidak menghentikan aktiviti mereka kerana aktiviti ini amat lumayan sehingga mencecah lebih daripada RM100 sehari.
Ada di kalangan mereka mengubah suai akan kereta pacuan empat roda (double cab) mereka sehingga boleh menampung sebanyak 4 kali ganda (400 liter) dari jumlah sebenar. Beliau menyeru pihak penguasa seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengenakan sekatan untuk mengesan dan menangkap kereta pacuan tersebut kerana telah melanggar peraturan ubahsuai kereta.
FMT juga mendapat maklumat bahawa kebanyakan pengusaha industri sebenarnya dibenarkankan membeli bekalan diesel subsidi tetapi pembelian hanya terhad di antara 20 – 30 liter sehari bergantung kepada jenis jentera.
Namun, ini adalah hanya untuk jentera yang didaftarkan.
Pengusaha seterusnya terpaksa membeli bekalan diesel lebihan mengikuti harga industri yang berharga RM2.65 sen seliter.
Oleh kerana ada segelintir pengusaha industri yang memiliki banyak jentera tidak berdaftar, kuota yang diberikan tidak mencukupi.
Ini menyebabkan mereka mengambil peluang untuk membeli diesel subsidi dengan pelbagai cara termasuk berulang alik dengan kereta lori mereka dengan berberapa stesyen yang berbeza.
Perbezaan harga yang amat besar ini telah menyebabkan jumlah permintaan bekalan diesel subsidi meningkat.
Oleh kerana kurang pengawasan daripada pihak berkuasa, pelbagai cara dilakukan untuk memastikan mereka keuntungan berada di paras yang tinggi.
Pengusaha yang tidak bertangungjawab ini sebenarnya telah merompak dari subsidi yang sepatutnya diberikan kepada pengguna kecil dan persendirian.
Mereka tidak menyedari bahawa kos subsidi adalah diambil dari wang cukai rakyat.
Oleh itu, pengusaha telah mengaut keuntungan berlebihan daripada jumlah perbezaan kos subsidi yang dibayar oleh kerajaan melalui wang cukai rakyat.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.