`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Thursday, August 25, 2016

APA YANG TINGGAL LAGI DALAM 'FRANKLY SPEAKING' MUSA HITAM?

Ketika terbitnya buku "Frankly Speaking" oleh Musa Hitam, ramai yang melihat ia mungkin sesuatu yang bermanfaat kepada generasi muda untuk memahami banyak perkara mengenai politik dan pentadbiran negara.

Lebih-lebih apabila bekas Timbalan Perdana Menteri itu mengatakan beliau mengambil masa 15 tahun untuk menulis buku tersebut.

Musa sendiri memberitahu, tujuannya menulis buku itu ialah untuk memastikan generasi muda memahami sejarah serta mengenali isu semasa.

Bagaimanapun, sehingga ini sudah empat bekas pemimpin UMNO dan negara menyanggah banyak fakta dalam buku yang ditulisnya itu.
Mula-mula Sanusi Junid. Beliau yang dikatakan berada dalam Kumpulan bernama AIDS iaitu Anwar Ibrahim, Daim dan Sanusi, menafikan kewujudan kumpulan  yang didakwa oleh Musa Hitam selalu memberi maklumat salah kepada Tun Mahathir.

Kata Sanusi, kumpulan AIDS itu tidak pernah wujud, bahkan kejatuhan Musa adalah kerana kesalahan dan kelemahannya sendiri.

Bahkan Sanusi juga memberitahu, berbanding Anwar Ibrahim dan Daim, beliau lebih mempunyai hubungan yang akrab dan selalu bekerjasama dengan arwah Megat Junid Megat Ayob dan Kip Bahadom dalam kerja-kerjanya berkaitan UMNO.

Dalam tulisan di blognya, Sanusi juga memuatkan perbualan Whatsapp antara beliau dengan Daim Zainuddin di mana bekas Menteri Kewangan itu tanpa ragu-ragu menyifatkan buku "Frankly Speaking"  itu adalah sebuah karangan "fiction".
Kemudian Tun Mahathir turut menyanggah beberapa fakta dalam buku itu, antaranya berkaitan kesetiaan mutlak dalam pentadbirannya sebagaimana yang didakwa oleh Musa Hitam.

Kata Tun Mahathir, beliau tentu akan memecat Musa Hitam sebagaimana Najib memecat Muhyiddin jika kesetiaan mutlak menjadi keutamaannya.

Semua orang tahu, selepas meletakkan jawatan sebagai Timbalan Pedana Menteri, Musa bukan saja dikekalkan sebagai Timbalan Presiden UMNO dan tidak dihalang berpakat dengan Tengku Razaleigh dalam pertandingan 1987 untuk menentang Tun Mahathir, bahkan dilantik kemudiannya sebagai duta bertaraf menteri.
Terbaru, Tun Abdullah Ahmad Badawi pantas menjawab "No,No,No" berhubung dakwaan Musa bahawa beliau meletakkan syarat kepada Najib agar melantik Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Perdana Menteri sebagai syarat pengundurannya.

Sesiapa pun yang mengikuti perkembangan dalam era kepimpinan Tun Abdullah, tentu faham dan merasakan adalah mustahil beliau berbuat demikian kerana Muhyiddinlah yang memaksa pengundurannya diawalkan.

Lalu, apa yang tinggal lagi dalam "Frankly Speaking" sekarang ini? Fakta atau auta? (SH).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.