`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 

10 APRIL 2024

Sunday, March 26, 2017

Anina mahu lawan Najib di Pekan

Anina Saadudin yang menjadi terkenal dengan mengkritik perdana menteri ketika berada dalam Umno mengesahkan hasratnya untuk bertanding menentang Najib di kubu kuatnya pada PRU14.
anina-saifudin-najibPETALING JAYA: Anina Saadudin, bekas ahli Umno yang terkenal dengan dakwaan Datuk Seri Najib Razak “kencing” 3 juta ahli parti itu, mahu menentang perdana menteri di kubu kuatnya di Pekan.
Kini, beliau yang merupakan ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) mengesahkan kepada FMT hasratnya mencabar Najib, presiden Umno dan pengerusi Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
“Ya,” balasnya menerusi mesej teks apabila diminta mengesahkan hasrat itu hari ini.
Pengasas bersama PPBM itu aktif mempromosikan pencalonannya untuk kerusi Pekan, menerusi catatan terbaru di Facebooknya dalam bentuk tinjauan pendapat dengan bertanya pengikutnya, jika mereka bersetuju dengan rancangan itu.
“Anda setuju?” soalnya di akaun media sosialnya malam tadi, dengan disertakan poster menggambarkan beliau menentang Najib.
Anina mencuri tumpuan media pada Ogos 2015 apabila sebuah klip video beliau mengkritik Najib menjadi tular di media sosial.
Rakaman pada sebuah acara Umno ketika beliau masih berada di Umno Bahagian Langkawi menunjukkan beliau berkata: “Datuk Seri presiden dah kencing 3 juta ahli Umno. Dia kata 3 juta ahli Umno sokong penuh kepimpinan beliau.”
Anina yang disingkirkan daripada jawatan ketua Wanita PPBM Disember lalu, lantang dengan dakwaan salah laku Umno sebagai parti pemerintah dan Najib.
Beliau tidak menyentuh mengenai kerusi Pekan sehingga Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan mengumumkan rancangan menubuhkan parti baru bersama bekas pemimpin Umno, Datuk Ezam Mohd Nor.
Bekas senator dan pengarah komunikasi di Kementerian Kewangan itu turut menyuarakan hasrat bertanding di kerusi Parlimen Pekan.
Khairuddin memberitahu FMT beliau tahu mengenai hasrat Anina bertanding di Pekan. Katanya, walaupun kepimpinan Pakatan Harapan yang akan mempunyai kata putus, beliau percaya Ezam adalah pilihan lebih baik.
“Kami percaya selagi kami boleh berada di kawasan Pekan selama 5 bulan, kami boleh dapatkan kerusi itu untuk PH. Kami percaya kami boleh memenangi kerusi itu.
“Tetapi keputusan bukan pada kami, ia terpulang kepada PH. Jika mereka kata kita tidak boleh bertanding di sana, maka kita akan menerima keputusan itu kerana matlamat utama kami ialah menjatuhkan Umno-BN.
“Dan walaupun saya menghormati hasrat Anina, saya rasa Ezam mempunyai locus standi lebih baik kerana beliau pernah berkhidmat di Kementerian Kewangan di bawah pentadbiran Najib,” kata bekas naib ketua Umno Bahagian Batu Kawan itu.
Ezam meninggalkan Umno apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat daripada parti itu pada 1998 untuk membantu membentuk Keadilan (kemudian PKR). Beliau meninggalkan PKR pada 2008 untuk menyertai Umno semula.
Khairuddin menekankan nilai daripada pengalaman langsung Ezam dengan mekanisme dalaman Kementerian Kewangan dan berkata fakta serta angka jauh lebih baik daripada cakap kosong pada kempen pilihan raya.
“Oleh itu, biarlah beliau menjadi pencabar Najib.”
Minggu lalu, Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli dilaporkan berkata, menyingkirkan Najib dari kerusi Pekan adalah tugas sukar kerana perdana menteri itu berakar umbi di sana.
Najib memenangi kerusi Pekan pada 1976, ketika beliau berusia 23 tahun. Walaupun berdepan saingan sengit, Najib tetap menang.
Pada Pilihan Raya Umum ke-13 lalu, Najib menewaskan calon PKR, Mohd Fariz Musa dengan majoriti 35,613 undi. -FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.