`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Wednesday, May 24, 2017

Perkasa: Proton perlu terus jaga kepentingan Bumiputera

Ibrahim Ali berkata, Putrajaya tidak harus melindungi Proton jika syarikat itu tidak menjaga kepentingan Bumiputera dan rakyat Malaysia.
ibrahim-ali-proton-4

PETALING JAYA: Kumpulan hak Melayu, Perkasa mahu kerajaan memastikan Proton Holdings Bhd terus melindungi kepentingan negara dan memenuhi keperluan vendor Bumiputera, berikutan penjualan 49.9% saham dalam pembuat kereta nasional itu kepada Zhejiang Geely Holding Group Co Ltd (Geely).
Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali berkata, walaupun Proton masih memiliki 50.1% majoriti saham, Geely pasti akan memainkan peranan besar dalam masa depan syarikat itu.
“Kami faham Proton memerlukan rakan kongsi strategik asing untuk terus bertahan, tetapi kerajaan perlu memastikan kepentingan rakyat Malaysia dan Bumiputera dilindungi.
“Ada ramai pekerja dan vendor Bumiputera. Kita tidak boleh pecat mereka sewenang-wenangnya. Proton perlu terus membina kapasiti dan kemahiran vendor serta pekerja Bumiputera,” katanya kepada FMT.
Ibrahim berkata, walaupun Proton adalah syarikat swasta, ia masih mendapat manfaat daripada perlindungan kerajaan melalui duti eksais ke atas kenderaan import antara 60% hingga 105%, yang menjadikan kereta tempatan lebih murah berbanding kereta import.
“Jadi, kenapa kerajaan perlu terus melindungi Proton, jika syarikat itu tidak melindungi kepentingan Bumiputera dan Malaysia?”
Proton yang ditubuhkan pada 1983 sebagai syarikat automobil pertama negara, bergelut sejak beberapa tahun kebelakangan ini, walaupun mendapat sokongan dan bantuan kerajaan.
Pada 2001, Proton menguasai bahagian pasaran sebanyak 53%, tetapi ia merosot kepada 14% tahun lalu.
Selama ini, Proton mempunyai rancangan untuk menjalin kerjasama jangka panjang dengan syarikat pengeluar kereta asing. Bagaimanapun, perbincangan dengan syarikat berpotensi, termasuk Volkswagen dan Suzuki serta Renault baru-baru ini, tidak berhasil.
Petang tadi, DRB-Hicom dilaporkan menjual 49.9% saham Proton kepada Geely yang merupakan pemilik Volvo Car Group dari Sweden.
Beberapa bulan lalu, Geely dilaporkan mendahului saingan untuk menjadi rakan kongsi Proton sehinggalah syarikat itu mengumumkan ia tidak akan meneruskan langkah itu pada Mac lalu kerana Proton “tidak dapat membuat keputusan”.
Geely kemudiannya dilaporkan berhasrat membeli 51% kepentingan dalam Proton, menyebabkan pengguna media sosial tempatan bimbang dengan kualiti kereta buatan China dan kononnya “pencerobohan China”.
Kebimbangan terhadap “pencerobohan China” itu timbul susulan peningkatan mendadak pelaburan dari Beijing di Malaysia, termasuk dalam projek hartanah dan infrastruktur.
Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas) bagaimanapun berpendapat, kerjasama Proton dan Geely akan memanfaatkan pembuat kereta nasional itu kerana ia boleh mendapat suntikan modal, pembaharuan, perubahan kepada proses pembuatan, pemindahan teknologi dan mengubah pemikiran serta sikap Proton.
Geely yang mengeluarkan kereta pertamanya pada 1998, mengalami perubahan besar sejak beberapa tahun ini. Ia membeli Volvo daripada Ford pada 2010 serta London Taxi Company.
Menurut laporan Carlist.my, Volvo di bawah Geely mengambil jurutera dalam bilangan terbesar sejak kebelakangan ini, menyumbang kepada pengeluaran model baru Volvo XC90, S90 dan V90. -FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.