`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 

10 APRIL 2024

Friday, September 22, 2017

Keramat akal Melayu padam

Reaksi sebahagian orang Melayu di media sosial yang berterusan mendesak supaya 'usah panjangkan cerita' menyerlahkan akal yang belum keluar zon selesa.
KOMEN
kebakaran-tahfiz4
Oleh Arif Atan
Berlalu sudah seminggu tragedi kebakaran ngeri melayangkan 23 nyawa di pusat tahfiz di Kampung Datuk Keramat, yang hanya 8.6km dari KLCC.
“Tak nak fikir panjang benda sudah jadi” yang diucap pengetua pusat tahfiz itu, rupa-rupanya itulah rumusan sikap sebahagian masyarakat Melayu.
Melayu marah sungguh apabila isu kebertanggungjawaban pengetua yang sentiasa tampil berjubah dan berkopiah itu dipersoal.
Dituduhnya, orang yang sekaum dan seagamanya sebagai “memanjangkan cerita” sehingga melarat kepada “sudah tidak percaya takdir”.
Walaupun pengetua itu menayangkan pusat tahfiz yang didakwanya diubahsuai sebanyak RM750,000 sampai 2 halaman penuh di akhbar Harian Metro pada 19 September lalu, tetapi tidak ramai terfikir satu perkara: Mengapa di asrama yang diinap lebih 30 kanak-kanak di bangunan yang dikatakan “sementara” itu tidak dilengkapi ciri-ciri keselamatan sewajarnya?
Bahkan, sejurus didedahkan bahawa lokasi nahas itu adalah asrama “sementara”, padam sudah sebahagian suara yang mempertikai sikap sambil lewa dalam aspek keselamatan.
Padahal, hatta satu hari “sementara” pun, isu keselamatan berkait dengan kebakaran tidak harus dikompromi kerana menyebabkan soal nyawa.
Begitu juga apabila tular di media sosial gambar berserta butiran 7 suspek remaja yang membakar asrama di tingkat 3 bangunan di Jalan Keramat Ujung tersebut.
Padam lagi suara yang mulanya marah tidak dapat menerima puluhan murid ditempatkan di ruang padat dengan hanya satu pintu keluar.
Ikutkan logik, apabila didedahkan modus operandi dari mengusung 2 tong gas sehingga ke tingkat 3 tanpa disedari itu sebenarnya boleh dibaca sebagai begitu longgar tahap keselamatan pusat tahfiz itu.
Situasi mangsa yang rentung akibat terperangkap sudah padam daripada ingatan sebahagian orang Melayu apabila mereka menjadi jurucakap pula kepada pusat tahfiz itu.
Tidak memiliki sijil kelayakan menduduki bangunan bahkan mengubah suai tidak mengikut pelan asal yang diserah kepada bomba bukan lagi kesalahan pengurusan pusat tahfiz itu.
Masyarakat terus mencurah memberi wang atas nama sumbangan pada ketika pemilik pusat tahfiz boleh didakwa mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan menyebabkan kematian secara cuai.
Reaksi orang Melayu termasuk keluarga mangsa lebih kepada bermain seputar emosi semata-mata.
Sikap orang Melayu yang dapat dilihat jalur fikirnya di media sosial hanya mengitar semula pandangan apa yang sudah terjadi sebagai takdir seolah-olah pihak yang menuntut supaya pengetua itu didakwa pun menerima takdir.
Hanya takdir yang berlaku turut diiringi dengan usaha menegakkan keadilan kepada mangsa termasuk yang cedera. Begitu juga halnya dengan 2 pelajar yang masih terlantar di ICU Hospital Kuala Lumpur.
Kalau 21 nyawa pelajar yang pergi itu “difatwakan” awal-awal pengetuanya sebagai mati syahid, bagaimana dengan 2 murid yang sedang bertarung nyawa dengan alat bantuan pernafasan?
Dua warden yang turut diragut nyawanya, apa pula jaminan pengelola pusat tahfiz sebagai penghuni syurga?
Hal berkaitan takdir Allah tiada siapa pun bagi penganut Islam persoal. Apa yang dibangkitkan adalah padamnya nilai akauntabiliti pentadbir pusat tahfiz itu sendiri dalam hal berhubung nyawa pelajarnya.
Api marak menjelang Subuh pada 14 September lalu nampaknya masih belum cukup mencelikkan akal sebahagian Melayu untuk keluar dari zon selesa dengan menganggap individu yang mengendalikan pusat tahfiz sebagai maksum.
Institusi dan budaya tahfiz itu amat baik tetapi yang padam daripada ufuk fikir masyarakat Melayu adalah nilai tanggungjawab pentadbir pusat pengajian Islam tersebut.
Lebih-lebih lagi pusat tahfiz persendirian dan swasta yang buat masa ini percambahannya tidak dapat dikawal secara berkesan bukan sahaja dari segi keselamatan bahkan pengajaran.
Keramat akal Melayu padam apabila seolah-olah menghidap alergik untuk menegur isu akauntabiliti pihak yang berkaitan dengan institusi agama akan pulih.
Adakah mereka walaupun gagal menjiwai prinsip menjaga nyawa yang menjadi elemen penting maqasid syariah terlalu sakral untuk ditegur?
Reaksi netizen yang emosional dan berterusan mendesak supaya “usah panjangkan cerita” dengan motif memihak kepada pentadbir pusat tahfiz yang culas memastikan premisnya memiliki ciri keselamatan barangkali lupa pesanan Hamka:
“Bukanlah menuhankan seorang manusia, mensucikan dan yang lain bersedia menjadi hambanya, dan menurut apa yang diaturnya, dan beliau tidak boleh disalahkan, dan dipandang tidak pernah bersalah!”
* Arif Atan seorang pembaca FMT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.