`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Friday, September 22, 2017

Najib Berjenaka Dengan Amerika Ketika Rakyat Menderita

A Kadir Jasin


TUN Dr Mahathir Mohamad mempengerusikan “dawn raid” ke atas Pasaran Saham London (LSE) pada 7 September 1981 bagi merampas dan membawa balik syarikat perladangan Guthrie ke Malaysia.

Kita tak heboh lakukan Dawn Raid
Ketika itu Guthrie beribu pejabat di London dan sahamnya diniagakan di LSE sedangkan ladang dan kilangnya berada di Malaysia, dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) adalah di antara pemegang sahamnya.

Operasi awal pagi yang dikenali sebagai serangan waktu fajar itu dilakukan dalam suasana penuh kerahsiaan dan dengan perancangan yang amat rapi.

Apabila pengurusan LSE, para pelabur dan pihak berkuasa Inggeris menyedari serangan itu empat jam kemudian, Guthrie telah pun jatuh ke tangan PNB.

Masa itu PNB buat bidaan untuk membeli ladang bukan membeli nombor plat kenderaan bermotor istimewa!

Serangan korporat ala-komando itu begitu mengejutkan sehingga pihak berkuasa Inggeris meminda syarat dan peraturan LSE supaya operasi seperti itu tidak boleh dilakukan lagi.

Itu 36 tahun lalu. Kita tidak hebahkan bila dan di mana kita akan melabur. Kalau kita bising atau bagi tahu Perdana Menteri British (masa itu Dame Margaret Thatcher) dia mungkin sekat.

Ditakdirkan para pelabur di LSE pula tahu juga, mereka boleh buat spekulasi hingga menyebabkan harga saham Guthrie naik. Bila harga naik, kita sama ada tidak mampu membeli atau terpaksa membayar harga yang tinggi. Jadi kita berahsia.

Tapi 36 tahun kemudian, Perdana Menteri Malaysia, (Datuk Seri I Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sandrobone Sultan Abdul Jalil) Mohd Najib Abdul Razak, dengan bangganya mengumumkan kepada Presiden Amerika, Donald J. Trump, dan media massa dunia bahawa KWSP dan Khazanah akan melabur puluhan bilion ringgit untuk kukuhkan ekonomi Amerika.

Perbuatan Najib itu jelas menyebabkan KWSP dan Khazanah kecut perut kerana boleh menghakis keyakinan pencarum dan pelabur terhadap ketelitian dan mutu urus tadbir korporat mereka.

Mereka bergegas mengeluarkan kenyataan bagi memberi jaminan yang mereka akan teliti dalam urus niaga mereka. Mereka tahu rakyat jelata dan masyarakat pelaburan tidak percaya dan tidak yakin kepada bos nombor satu mereka.

Melabur Di Luar

Saya sentiasa menyokong langkah tabung pelaburan tempatan mempelbagaikan portfolio mereka di dalam dan luar negara untuk menjana keuntungan tapi bukan untuk bantu perkukuhkan ekonomi mana-mana negara.

Kalau ekonomi mereka kukuh kerana kita melabur, ia hal lain. Tapi menggunakan duit pencarum KWSP dan duit Khazanah untuk memperkukuhkan ekonomi Amerika itu salah. Ia bukan tugas dan kerja mereka.

Secara kecil-kecilan saya pun melabur juga dalam dana bersama (mutual fund) luar negara yang dipasarkan di Malaysia. Sesetengah daripada dana bersama asing ini memberi pulangan lebih tinggi daripada dana bersama tempatan.

Orang yang tahu tentang ekonomi tentu geli hati dan ketawa terhadap cakap Mat Jenin Najib nak bantu pulihkan ekonomi Amerika. Orang bodoh dan orang gila mungkin percaya.

Realiti ada di sebaliknya. Ekonomi negara luar bantu perkukuhkan ekonomi kita. Kita ambil contoh pelaburan KWSP.

Walaupun Najib berkokok macam ayam jantan baru baligh kononnya ekonomi negara hebat di bawah pemerintahan beliau, realitinya pulangan ke atas pelaburan (ROI) KWSP daripada pelaburan di luar negara adalah lebih tinggi daripada pelaburan dalam negara.

Dalam satu laporan terbaru, KWSP berkata walaupun pelaburannya di luar negara hanya berupa 29 peratus daripada keseluruhan pelaburan, ia menghasilkan 32.5 peratus daripada keseluruhan pulangan.

Laporan lain pula mengatakan, bagi tahun 2016 kadar pulangan pelaburan KWSP di luar negara adalah 9.73 peratus berbanding 6.18 peratus bagi pelaburan domestik.

Jadi, jika KWSP atau mana-mana juga tabung pelaburan Malaysia melabur di Amerika, tujuannya bukanlah untuk memperkukuhkan ekonomi Amerika tetapi untuk mencari keuntungan yang lebih tinggi.

Najib, konco-konco, para penasihat (ada orang katapunahsihat) dan laskar siber beliau bolehlah mendabik dada dan menipu rakyat jelata yang jahil ekonomi, tetapi perangkaan global mengatakan bahawa ekonomi Malaysia tidaklah sehebat yang mereka canangkan.

Media massa Amerika menggambarkan Trump sebagai seorang presiden yang dangkal dan kasar. Tetapi dia seorang ahli perniagaan yang berjaya. Jadi saya yakin dalam hati, beliau ketawa terhadap tawaran Najib memperkukuhkan ekonomi negaranya. Tapi kalau Najib bagi, walaupun kecil, dia sapulah.

Najib tidak akan berhenti bercakap besar dan berangan-angan Mat Jenin kerana itu sajalah modal yang masih ada kepada beliau.

Angka tunjuk harga pengguna terbaru dari Jabatan Perangkaan menunjukkan indeks harga pengguna bulan Ogos lepas naik 3.7 peratus daripada bulan sebelumnya akibat kenaikan harga minyak dan tambang pengangkutan.

Rakyat jelata terus menderita.

Jadi kita lupakan saja Najib dengan angan-angan beliau hendak membantu memperkukuhkan ekonomi Amerika kerana ekonomi kita rakyat jelata Malaysia semakin hari semakin tidak menentu.

Najib lebih berminat memberi susu kepada kera di hutan daripada kepada anak di rumah yang semakin kebuluran.

Wallahuaklam.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.