`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 

10 APRIL 2024

Wednesday, November 22, 2017

Tentang tudung

tudung

Diskriminasi diamalkan semua pihak. Di kalangan Melayu Islam konservatif, golongan Kristian dihalang daripada menggunakan kalimah “Allah” walaupun ia telah digunakan turun-temurun oleh penduduk nusantara dan di dalam Bible bahasa Arab!
Bukan Islam pun tidak terlepas daripada diskriminasi terhadap orang Islam seperti kes yang berikut. Dilaporkan sebuah persatuan hotel mempertahankan larangan tudung ke atas pekerja di bahagian penyambut tetamu (reception).
Menurut Persatuan Hotel Malaysia (MAH), langkah ini bukanlah diskriminasi tetapi hanyalah prosedur operasi biasa (SOP).
Jawapan ini cetek lagi dangkal. SOP bukan set peraturan yang turun dari langit! SOP direka cipta oleh manusia untuk tujuan praktikal. Jika ia tidak sesuai untuk sesuatu masa dan tempat, maka ia patut diubahsuaikan untuk menepati tujuan.
Hotel di Timur tengah yang bukanlah konservatif atau ekslusif kepada umat Islam pun ada pekerja bertudung sebagai penyambut tetamu.
Diskriminasi terhadap umat Islam bukanlah terhad kepada Malaysia sahaja sebenarnya. Di UK, umat Islam menghadapi pelbagai cabaran dan rintangan sebelum peristiwa 9/11 lagi.
Dalam dekad 1980-an, sejak penerbitan The Satanic Verses lagi, persepsi terhadap umat Islam sudah semakin buruk. Satanic Verses adalah satu novel satira yang memburukkan imej Nabi Muhammad di atas nama literatur dan ia telah mengapi-apikan emosi umat Islam. Saya tidak menyebelahi mereka yang melakukan keganasan di atas alasan kononnya membela nama baik Nabi Muhammad. Mereka sepatutnya akur kepada kebebasan untuk menyuarakan pendapat di negara yang sekular seperti UK.
Apa yang saya sasarkan sebagai poin ialah bias media pada ketika itu. Mereka sedikit pun tidak memberi kesempatan kepada umat Islam untuk memberi respon yang rasional kepada novel ini.
Tokoh pemikir Islam seperti David Musa Pidcock dan Ziauddin Sardar telah menukilkan respon tetapi tidak diberi ruang dan masa untuk menyuarkan respon itu tanpa asakan. Tidak hairanlah jika orang Islam terasa dipinggirkan pada zaman itu.
Selepas peristiwa 9/11, diskriminasi terhadap orang Islam semakin meningkat. Kalau dulu, Islam dipaparkan sebagai tamadun yang amat mundur, pada zaman pasca 9/11, mereka dipaparkan sebagai tamadun yang mempromosikan keganasan pula.
Kini insiden ganas terhadap umat Islam juga meningkat. Ini berlaku walaupun tidak lebih daripada 0.01% umat Islam di UK sokong keganasan 9/11. Setelah UK mengalami insiden teroris sendiri pada 7 Julai 2005, keganasan terhadap umat Islam semakin meningkat. Walaupun menurun sedikit pada 2008-2012, ia menjulap kembali dengan pembunuhan Woolwich pada 2013 dan juga kemunculan IS pada tahun-tahun yang menyusul.
Ia tidak bermakna yang orang Islam tidak dapat menikmati kehidupan yang bahagia di Barat. Sememangnya, kebanyakan orang Islam berjaya mewujudkan hidup yang amat selesa di negara-negara ini. Sebab itu mereka berlumba-lumba untuk berhijrah!
Namun begitu, mereka tetap menghadapi diskriminasi lebih daripada minoriti lain. Jika anda mempunyai nama “Islam” seperti Muhammad atau Fatimah, menurut kaji selidik, anda lebih sukar mendapat peluang pekerjaan.
Orang kulit hitam seperti dari Nigeria atau Jamaica (yang juga mempunyai nama yang senang dikenalpasti) juga menghadapi diskriminasi yang lebih kurang sama.
Diskriminasi oleh umat Islam
Namun, ada undang-undang anti-diskriminasi di UK untuk menghalang diskriminasi begini dan umat Islam telah dapat mendapat keadilan.
Umat Islam juga tidak bebas daripada membuat diskriminasi terhadap kumpulan-kumpulan lain dan kita tidak perlu mencari jauh untuk mendapati contoh begini.
Di Malaysia sendiri, diskriminasi berlaku terhadap golongan bukan Islam. Mereka dipaksa akur kepada peraturan yang dipaksa ke atas orang Islam.
Pada bulan puasa, mereka dipaksa makan berjauhan sampai ada dipaksa makan dalam bilik mandi! Pada hari Jumaat, mereka terpaksa menghadapi kesesakan kerana orang Islam meletak kereta sesuka hati. Mereka terpaksa melihat pendakwah yang langsung tidak sensitif kepada perasaan mereka seperti Dr Zakir Naik yang suka menunjukkan mangsanya memeluk Islam di hadapan khalayak ramai.
Adakah Naik membenarkan orang Islam murtad di hadapan khalayak ramai? Sama sekali tidak! Kerajaan Malaysia juga akan pantas cuba membenteras “gejala” tersebut seperti perhimpunan Melayu ateis tidak lama dulu.
Jadi janganlah kita umat Islam berlagak seperti mangsa selalu (iaitu “victim mentality”). Kadang-kala, kita bukannya mangsa tetapi pihak yang melakukan kezaliman terhadap orang lain.
Berbalik kita kepada kes diskriminasi terhadap tudung. Ahli politik banyak menggunakan kes ini untuk meraih markah dengan umat Islam. Kononnya mereka mahu lesen hotel ditarik balik dan sebagainya.
Pada saya, tidak perlu berbuat begitu. Umat Islam hanya perlu menjauhi daripada hotel tersebut. Jika mereka melakukan diskriminasi, maka mereka tidak patut mendapat wang kita. Mudah sahaja.
Tetapi sebelum itu, kita patut berunding dengan cara baik. Kita patut menyakinkan mereka yang pekerja- yang memakai tudung tidak bermakna mereka mempunyai ideologi atau memaparkan imej tertentu.
Tudung itu satu unsur budaya yang tidak mengganggu kebolehan bekerja. Oleh itu, ia tidak patut mengalami sebarang diskriminasi.
Jika kita dapat menangani masalah ini dengan baik, kita dapat merapatkan jurang di antara tamadun. -FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.