`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 

10 APRIL 2024

Sunday, March 18, 2018

Mampukah PPBM menempa kejayaan di Negeri Sembilan?



Oleh Abdullah Ahmad
Pilihan raya umum ke-14 (PRU14) yang pastinya akan diadakan sebelum pertengahan tahun ini sering disebutkan sebagai ibu segala pilihan raya. Barisan Nasional (BN) dijangka menghadapai cabaran paling getir dalam sejarah dan mungkin juga dalam skala yang tidak pernah dialaminya sebelum ini.
Pakatan Harapan (PH) pula tentunya mengharapkan kepada tsunami politik secara besar-besaran terutama dalam kalangan pengundi Melayu yang mula menunjukkan tanda-tanda penolakan terhadap Umno. Manakala bagi pengundi bukan melayu terutama pengundi Cina, mereka dikatakan hampir pasti menolak BN dan ini tentunya memberikan banyak kelebihan kepada PH.
Pengagihan kerusi Parlimen dan DUN dalam kalangan parti komponen PH hampir selesai. Negeri Sembilan antara negeri terawal memuktamadkan proses pembahagian kerusi pada akhir Januari 2018. Pada awalnya, keputusan yang dicapai mendapat tentangan dan bantahan yang agak berapi dari penyokong PPBM yang merasakan parti itu sepatutnya diperuntukkan lebih banyak kerusi.
Antara isu yang menimbulkan kemarahan ialah di Parlimen Seremban yang mempunyai 6 DUN, tiada 1 kerusi pun yang diperuntukkan kepada PPBM. Parti itu dari awal lagi berharap untuk sekurang-kurangnya diberikan N14 Ampangan yang pernah dimenangi pembangkang pada PRU12 tetapi ditawan semula oleh BN pada PRU13 dengan majoriti hanya 89 undi. Namun, Ampangan diberikan kepada PKR yang turut diberikan N13 Sikamat.
Bagaimanapun, atas semangat solidariti dan campurtangan pimpinan kanan PH, rasa kecewa dan tidak puas hati itu dapat diredakan. PPBM menerima keputusan yang memberikan mereka 2 kerusi Parlimen iaitu Jempol (P127) dan Kuala Pilah (P129) disamping 6 kerusi DUN iaitu Pertang (N02), Palong (N06), Sri Menanti (N16), Chembong (N26), Bagan Pinang (N31) dan Gemencheh (N35).
Apa yang menarik ialah jika diperhatikan dengan teliti, tidak ada 1 pun kerusi yang diperuntukkan kepada PPBM di Negeri Sembilan, baik Parlimen mahupun DUN, boleh dikategorikan sebagai “selamat”. PPBM terpaksa turun padang ke kubu-kubu kuat Umno yang amat sukar ditembusi.
Bukan itu sahaja, semua kerusi ini tidak pernah dimenangi pembangkang, hatta dalam PRU12 sekalipun di mana dikatakan pada ketika itu berlaku tsunami politik yang memihak kepada pembangkang. Sebagai perbandingan, kerusi yang diperuntukkan kepada parti lain terdapat sekurang-kurangnya 1 kerusi yang pernah dimenangi pembangkang, kalau tidak pun ianya memang merupakan kerusi pembangkang sedia ada.
Justeru, PPBM terpaksa menerima hakikat bahawa di Negeri Sembilan parti itu berdepan cabaran yang jauh lebih hebat dari apa yang perlu dilalui parti komponen lain.
Bagi PPBM sendiri, keperluan untuk memenangi beberapa kerusi adalah kritikal sebagai permulaan bagi parti itu bertapak. Tekanan menjadi lebih hebat apabila DAP dan PKR mempunyai rekod memenangi kerusi Parlimen dan DUN. Amanah sebagai parti serpihan PAS pernah memenangi kerusi DUN Paroi atas tiket PAS pada PRU12. Keadaan ini berbeza dengan PPBM, parti setahun jagung tanpa rekod kejayaan dan berdepan pula pelbagai ujian dari dalam dan luar, termasuk Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia.
Secara kebetulan, kawasan yang akan ditandingi PPBM bukan sahaja diwakili oleh pemimpin Umno tempatan yang berpengaruh tetapi ada diantaranya memegang jawatan kanan dalam kerajaan. Andainya UMNO mengekalkan mereka ini untuk mempertahankan kerusi masing-masing, PPBM pastinya menghadapi tugas yang sukar dan amat mencabar.
Apa tidaknya, ambil sahaja Parlimen Kuala Pilah. Kerusi itu kini dimiliki oleh Datuk Hasan Malek, seorang bekas menteri kabinet dan kini Duta Malaysia ke Kemboja. Ahli Parlimen Jempol pula Tan Sri Mohd Isa Samad, juga seorang bekas menteri kabinet dan pernah menduduki kerusi menteri besar selama lebih 20 tahun. Lebih dari itu, Tan Sri Isa juga dikenali sebagai bekas pengerusi Felda yang paling tersohor.
Di peringkat DUN, Palong dan Bagan Pinang diwakili Datuk Lilah Yassin dan Tun Hairudin Abu Bakar, kedua-duanya exco kerajaan Negeri Sembilan. Mereka ini sudah tentu akan menggunakan segala kuasa dan pengaruh yang ada bagi melakukan sesuatu yang boleh memberikan kelebihan.
Di peringkat parti, Umno semestinya akan memastikan kubu tidak terlepas ke tangan lawan walaupun mereka sendiri mungkin menjangkakan akan terdapat hakisan sokongan dalam kalangan orang Melayu.
Dalam keadaan pengundi mungkin terbahagi 2, atau 3 sekiranya PAS memaksa pertandingan 3 penjuru, faktor calon dilihat boleh menjadi penentu kemenangan atau sebaliknya. Soalnya sekarang apakah PPBM mempunyai calon yang ketokohannya mampu mengimbangi kekuatan gergasi-gergasi yang bakal diketengahkan Umno.
Setakat ini tidak banyak diketahui tentang bakal calon yang akan diketengahkan PPBM. Biarpun begitu, sumber dalaman menjangkakan pimpinan peringkat bahagian bakal dicalonkan di kawasan masing-masing kecuali Seremban di mana tiada kerusi bagi PPBM. Di Rembau pula ada khabar PPBM mungkin akan menampilkan seorang calon wanita dari pimpinan srikandi untuk bertanding di DUN Chembong.
Percaturan pemilihan calon bagi DUN Bagan Pinang dalam Parlimen Telok Kemang dikatakan paling panas. Desas desus rancak menyatakan seorang tokoh dari luar Telok Kemang akan dibawa masuk sebagai calon, atas pertimbangan tokoh ini dilihat mampu memberi saingan kepada calon Umno dari segi latarbelakang pendidikan, pengalaman politik dan ketokohan.
Menurut sumber yang mengetahui perkembangan ini, tokoh yang dimaksudkan ialah Rashid Latiff, seorang bekas wakil rakyat yang pernah memenangi DUN Ampangan atas tiket PKR pada PRU12. Bekas Adun PKR yang pernah menjadi ahli PAC negeri kini menyertai PPBM dan merupakan ketua penerangan Seremban. Ketua Penyelaras Penaja PPBM Telok Kemang, Ramli Awang dikatakan bersetuju untuk mengemukakan Rashid sebagai salah satu nama untuk pertimbangan pimpinan PPBM pusat.
Langkah Ramli itu boleh dianggap berani dan bijaksana. Biarpun mungkin terdapat pihak yang mahukan calon dari kalangan anak tempatan, langkah yang diambil jelas meletakkan kepentingan parti di atas segalanya. Bagan Pinang perlukan seorang calon berwibawa dan boleh menang bagi menghadapi Umno. Siapa pun yang dipilih sebagai calon haruslah masuk gelanggang dengan rekod politik yang disegani, kalau pun tidak lebih, sekurang-kurangnya menyamai calon lawan.
Jadi, strategi yang digunapakai Ramli harus mendapat sokongan semua dan perlu dilihat dalam konteks yang lebih luas.
Pembubaran Parlimen akan diumumkan pada bila-bila masa. PPBM Negeri Sembilan membawa cabaran untuk memenangi 2 kerusi Parlimen dan 6 kerusi DUN. Ini suatu tugas yang amat berat. Bagaimanapun, dengan jangkaan mood pengundi yang mahukan perubahan, tidak mustahil berlaku peralihan yang cukup besar dan memihak kepada pembangkang.
Isu nasional seperti kos sara hidup, peningkatan harga barang, peluang pekerjaan, penyusutan nilai ringgit serta skandal seperti 1MDB, Tabung Haji, Mara dan Felda banyak menimbulkan kemarahan rakyat yang boleh menyebabkan mereka beralih kepada pembangkang untuk mencari penyelesaian. Jika pendekatan ini dimanfaatkan sepenuhnya, tidak mustahil PPBM boleh menempa kejayaan dan membina tapak yang kukuh di negeri adat perpatih.
Abdullah Ahmad adalah pembaca FMT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.