`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Saturday, May 26, 2018

SELEPAS KEDIAMAN NAJIB DAN RUMAH AZEEZ DIGELEDAH, GILIRAN SIAPA SELEPAS INI?

Selepas kediaman Najib Razak dan dua kondo mewah anaknya digeledah polis dan kemudian rumah bekas Pengerusi Tabung Haji, Abdul Azeez Rahim pula diserbu SPRM, sudah pasti ramai bekas menteri dan bekas pengerusi GLC yang lain mula tidak lena tidur sekarang ini.
Lebih-lebih lagi bagi yang diketahui umum mengamalkan gaya kehidupan mewah, pernah disiasat atau sudah ada fail yang dibuka, barangkali melihat kereta polis dari kejauhan pun sudah berpeluh dingin dibuatnya.
Dengan antara lain manifesto Pakatan Harapan dalam tempoh 100 hari ialah untuk menyiasat skandal yang berlaku dalam 1MDB, Felda, Mara, Tabung Haji dan lain-lain serta merombak struktur kepimpinan di semua agensi tersebut, apa yang dilakukan oleh kerajaan baru ini tidaklah boleh dianggap sebagai membalas dendam.
Ia sebaliknya adalah komitmen dan kerana komitmen itulah juga rakyat memberi undi serta kemenangan kepada Pakatan Harapan.
Maknanya, kerajaan baru pimpinan Tun Mahathir Mohamad tiada pilihan lain selain menunaikan komitmen itu dengan penuh tanggungjawab serta mencari hingga ke akar umbi semua orang yang dipercayai ada terkait dengan apa jua skandal wang rakyat.
Rakyat sebenarnya sudah letih melihat bagaimana wang rakyat di era BN dahulu dirombak dan dicuri dengan pelbagai cara. Ada yang dilakukan dengan meluluskan projek yang dinaikkan harganya, membeli, syarikat, hotel atau hartanah di luar negara, juga dengan harga berlipat kali ganda, melalui pelaburan dalam saham amanah yang komisennya masuk ke dalam beg tangan isteri, tajaan bola dan macam-macam cara lagi.
Apa pun bentuk dan caranya, semua itu adalah kedurjanaan yang tidak harus dimaafkan.
Dahulu, ketika era BN, semua itu mungkin boleh ditutup atau dilindungi dengan mereka yang terbabit bertindak lebih kerap mengampu atau mencium tangan pemimpin dan isterinya, tetapi kerajaan baru ini mesti berbeza dengan sebelumnya.
Tindakan, penyiasatan dan hukuman harus dimulakan dengan segera. Tidak kira bekas menteri atau pengerusi GLC, bergelar Datuk Seri atau Tan Sri, keadilan mesti ditegakkan dengan tidak mensia-siakan undi serta sokongan yang rakyat telah berikan kepada Pakatan Harapan.
Jika di kondo mewah anak Najib ada beratus juta ringgit ditemui, begitu juga beratus ribu dijumpai di rumah Abdul Azeez, jangan terkejut jika di rumah beberapa bekas menteri dan pengerusi GLC lain juga akan ditemui wang tunai, barangan kemas atau himpunan beg tangan mewah yang banyak jumlahnya.
Jika tidak pun, sudah tentu semua mereka itu memiliki rumah yang besar dan himpunan kereta mewah yang ikut logiknya tidak sepadan pun dengan gaji atau pendapatan bulanan mereka.
Maknanya, daripada manakah segala sumber kekayaan itu diperolehi?
Apabila UMNO dan BN kalah dalam pilihanraya 9 Mei lalu, ini bermakna soal menang atau kalah bukan lagi mustahil bagi mana-mana parti. UMNO bukan lagi keramat dan jasa-jasa BN tidak lagi melekat di hati rakyat jika keburukan pemimpinnya sudah terlalu ketara dan membuatkah rakyat “berbulu mata” melihatnya.
Dalam pilihanraya akan datang mungkin Pakatan Harapan akan kalah lagi atau boleh jadi BN mampu berkuasa semula. Pilihan siapa yang akan menjadi kerajaan benar-benar di tangan rakyat berdasarkan prestasi dan perangai para pemimpinnya.
Rakyat kini adalah raja di Malaysia.
Oleh itu, tindakan yang diambil kepada bekas-bekas menteri atau pengerusi GLC ini berdasarkan jika mereka ada melakukan kesalahan, ia juga adalah peringatan kepada menteri-menteri yang sedang berkhidmat sekarang dan buat pemimpin GLC yang bakal dilantik nanti.
Kiranya mereka cuai, terpana dengan kuasa atau wang haram, suka kepada kemewahan, jika kerajaan berubah lima tahun akan datang, maka giliran merekalah pula menerima nasib buruk itu.
Pokoknya, siapa pun yang berbuat salah akan lebih mudah untuk diadili dan dijatuhkan hukuman melalui kerajaan yang boleh bertukar ganti sekarang ini.
Akhirnya, sekali lagi, rakyatlah yang tetap menjadi raja di mana mereka boleh menaik atau menjatuhkan sesiapa yang dikehendaki.
– http://shahbudindotcom.blogspot.my/

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.